Bola Sepak

Perak FC selesai tunggakan gaji Februari

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perak FC menawarkan pegangan saham kelab bola sepak itu bermula hari ini kepada mana-mana pihak yang berminat sebagai antara langkah menyelesaikan kemelut kewangan yang melandanya termasuk mengenai isu tunggakan gaji pemain.

Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekurangan jumlah penaja selain tawaran penajaan berkepentingan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Beliau bagaimanapun tidak secara terperinci menyatakan jumlah pegangan yang ditawarkan.

"Saya tawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat membantu kita khususnya untuk menjadi penaja utama, bahkan kita tiada masalah jika mereka, termasuk sebaiknya jika ada putera dari negara Arab sekalipun yang turut ingin membeli 'share' (pegangan saham) Perak FC.

"Ada juga cadangan daripada peminat agar buka (tawarkan) saham kepada mereka sendiri namun pada kita ia bukan semudah yang disangka memandangkan banyak perkara perlhu diperhalusi termasuk implikasi di masa mendatang.

"Sebelum ini banyak pihak datang kepada kita menawarkan tajaan, namun ia bukanlah penajaan tulen apabila meletakkan syarat inginkan pulangan dari pihak kerajaan negeri sebagai batu loncatan perniagaan mereka umpamanya. Pada saya itu tidak memenuhi objektif menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi bagi negeri Perak di sebuah hotel, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali dan CEO Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan.

Khairul Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak turut membidas dakwaan pihak tertentu termasuk penyokong Perak FC sendiri menegnai desas-desus syarikat Perak FC, Perak FC Sdn Bhd Mempunyai hutang tertunggak mencecah RM6 juta.

Menyentuh mengenai isu tunggakan gaji pegawai dan pemain kelab itu selama dua bulan, beliau berkata bayaran gaji bagi bulan Februari 2021 sudah dilunaskan pada semalam membabitkan jumlah RM900,000 daripada dana kerajaan negeri.

"Saya sebenarnya sudah tidak mahu terbabit secara langsung dengan bola sepak sebaliknya hanya terbabit di belakang tabir Pada saya bila Rizal Ali sudah dilantik sebagai CEO syarikat (kelab), banyak perkara dan tanggungjawab saya serahkan kepadanya.

"Namun sebagai exco kerajaan negeri yang menjaga portfolio sukan, saya turut akan cuba pastikan sesuatu tunggakan gaji sebolehnya tidak akan melebihi tempoh dua bulan," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai desas-desus pengaktifan klausa 9.7 dalam kalangan pemain untuk berhirah ke pasukan lain susulan isu kelewatan gaji, Khairul Shahril berkata ia terpulang kepada pemain namun harus juga merujuk kepada kontrak yang sudah ditandatangani.

Beliau berkata, peminat juga harus faham keadaannya serta CEO kelab yang mengambil alih pengurusan Perak FC bermula kira-kira tiga bulan lalu dalam keadaan pasukan mempunyai tunggakan hutang RM3.8 juta daripada pengurusan terdahulu.

"Sewaktu mula mengambil alih Perak FC, di tangan kita sudah ada tunggakan dua bulan bernilai RM 3.8 juta daripada. Saya sebagai exco kerajaan negeri terpaksa campur tangan termasuk hutang RM3.8 juta yang kerajaan negeri bantu Perak FC selesaikan sebelum ini, itu peminat perlu ingat," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 3:09pm
d