Bola Sepak

Empat pemain muda sertai Sabah FC

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Empat pemain skuad Piala Presiden Sabah dipanggil menyertai pasukan Sabah Football Club (FC) untuk menghadapi aksi Liga Super bertemu Penang FC di Pulau Pinang, Ahad ini.

Pemain berkenaan ialah Gerald Gadit, 22, Mohd Hizaz Lokman, 21, Mohd Hanafi Tokyo Abdul Hashim, 22 dan Mohd Nureikhan Isa Japar, 22.

Difahamkan juga, empat pemain itu antara 20 pemain Sabah FC yang berlepas ke Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Sabah, Johnny Dominicus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, ia satu peluang baik untuk pemain-pemain muda Sabah itu mendapat pendedahan untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Empat pemain itu, sebelum ini, pernah menyertai latihan Sabah FC dan mereka kembali dipanggil menyertai latihan skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu beberapa hari lalu.

Dalam perkembangan sama, ketua pasukan Sabah FC, Rawilson Batuil difahamkan tidak bersama pasukan ke Pulau Pinang, hari ini.

Selain empat pemain muda berkenaan, pemain lain yang disenaraikan ke Pulau Pinang ialah Evan Wensley Wenceslaus, Dendy Lowa, Herman Peter, Park Taesu, Bobby Gonzales, Alto Linus, Randy Baruh, Saddil Ramdani, Risto Mtrevski, Levy Madinda, Sam Johnson Garyazhon, Mohd Syukri Baharun, Amri Yahyah, Nicco Nigel Milus, Robson Rendy Rining dan Rozaimie Rohim.

Semalam, pemain-pemain Sabah FC dilaporkan memboikot sesi latihan yang sepatutnya diadakan di Stadium Likas dan kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan isu tunggakkan gaji mereka selama dua bulan.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 3:09pm
d