Bola Sepak

Tonggak Harimau Malaya diharap bersabar

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Beberapa tonggak Harimau Malaya yang kini berpangkalan di luar negara diharap bersabar apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha keras untuk memastikan mereka juga divaksin sebelum terbang ke Dubai, Jun ini bagi menyertai Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, perbincangan antara pihak berwajib yang mengendalikan vaksin itu sedang berlangsung dan ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Difahamkan, antara tonggak utama pasukan yang berada dalam radar untuk disuntik ialah Luqman Hakim Shamsudin yang kini beraksi dengan KV Kortrijk di Belgium, Liridon Krasniqi bersama kelab Newcastle Jets di Australia dan dua tonggak yang bermain di Thailand iaitu Dominic Tan (Police Tero) serta Junior Eldstal (Chonburi FC).

"Kita akan berusaha sekeras yang mungkin dan kita akan lihat dari pelbagai segi sebab pelaksanaan di sesebuah negara berbeza.

"Status dan negara lain seperti Singapura lebih mudah dan cepat, tetapi pemain Singapura di Malaysia bermasalah. Begitulah kordinasinya yang perlukan perbincangan yang mendalam sikit," katanya.

Jelasnya, status bilakah pemain terbabit akan dapat disuntik akan diketahui tidak lama lagi.

"Saya tak ada jawapan untuk penyelesaian ini tetapi perbincangan sedang berlangsung. Perbincangan itu bukan daripada persatuan bola sepak atau pasukan bola sepak, tetapi ia memerlukan kordinasi daripada G-G (Kerajaan dengan Kerajaan) di peringkat atasan.

"Sebab urusan vaksin bukan daripada pasukan, jadi mungkin seminggu dua lagi kita akan dapat status semasa yang saya boleh beri malumat lebih sikit tetapi untuk pengetahun semua perbincangan sedang berjalan.

"Sama juga dengan permintaan dari negara lain untuk pemain kebangsaan (tonggak import berstatus pemain kebangsaan) yang bermain dalam liga kita, tapi pada masa ini kita hanya boleh menunaikan daripada Harimau Malaya saja," katanya.

Semalam, pasukan kebangsaan menerima vaksin Pfizer-biontech membabitkan 38 pemain dengan selebihnya pula terdiri daripada barisan kejurulatihan serta pegawai FAM.

FAM menyenaraikan 38 pemain untuk divaksinkan bagi memudahkan jurulatih, Tan Cheng Hoe memilih senarai akhir yang akan dibawa ke Dubai untuk perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain pada hujung bulan depan sebelum berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Jun ini.

Disiarkan pada: April 20, 2021 @ 5:37pm
d