Bola Sepak

Bojan ada strategi perangkap JDT

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) bersedia membuat skuad Harimau Selatan tersungkur kali kedua apabila anak didiknya melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

JDT yang tewas mengejut 0-1 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini pasti akan bangkit untuk memadam kesedihan itu, namun jurulatih KL City, Bojan Hodak mengakui tidak akan memberi laluan mudah.

Katanya, misi skuad kendaliannya adalah mengutip tiga mata penuh dan kelebihan beraksi di halaman sendiri harus dimanfaat sebaiknya oleh pasukan.

"Kita bermain di tempat sendiri dan kita perlu dapatkan tiga mata. Tak kira kita lawan siapa, yang penting apabila bermain di tempat sendiri kita harus mencatat kemenangan," katanya.

Menurutnya, beliau akan menggunakan segala pengetahuan yang ada tentang JDT di mana beliau sebelum ini pernah membimbing skuad itu pada 2014 hingga berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Super pertama buat pasukan itu.

"Kalau ikutkan pemain dulu dan sekarang tak sama, banyak perbezaan. Barisan pemain JDT adalah yang terbaik di negara ini dan kami akan lalui satu perlawanan yang sukar.

"Tetapi saya sudah ada perancangan tersendiri bagaimana untuk meraih keputusan positif. Saya harap pemain sedia dan akan beri komitmen dalam aksi itu nanti," katanya.

Ketika ini, KL City berada di tangga ketujuh liga dengan 12 mata daripada 10 aksi, manakala JDT kekal memimpin carta dengan 23 mata.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 6:29pm
d