Bola Sepak

KL City FC ikat JDT

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur (KL) City FC membuktikan mereka seharusnya diberikan perhatian pada musim ini apabila berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Jelas sekali perlawanan pada malam ini memberi amaran kepada barisan anak buah Benjamin Mora bahawa mereka berhadapan dengan pasukan yang sudah banyak berubah pada musim ini sekali gus tidak mudah untuk memperoleh kemenangan bergaya.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan boleh dikatakan seimbang malah setiap serangan pelawat berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan KL City FC.

Malah, anak buah Bojan Hodak yang sekali sekala melakukan serangan balas hampir mencemaskan kubu Harimau Selatan namun penyudah yang lemah melegakan JDT.

Gol pertama hadir pada minit terakhir perlawanan separuh masa pertama apabila tonggak import tuan rumah, Romel Morales mudah menolak masuk hantaran Fakhrul Aiman untuk kedudukan 1-0.

Separuh masa kedua menyaksikan, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi memburu gol untuk mengukuhkan kedudukan.

Namun, kealpaan benteng pertahanan tuan rumah akhirnya dihukum apabila tonggak JDT, Harris Harun berjaya menanduk gol penyamaan pada minit 55 untuk kedudukan 1-1.

Mora yang dalam misi memburu kemenangan selepas tewas kepada Terengganu FC pada perlawanan terdahulu membuat tukaran pemain dengan memasukkan Safawi Rasid, Fernando Rodriguez dan Mohamadou Sumareh untuk menguatkan lagi jentera serangan.

Segalanya boleh dikatakan sudah terlambat apabila setiap serangan JDT mudah dibaca barisan pertahanan KL City FC untuk kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat ditiup.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 12:19am
d