Bola Sepak

Bernhardt serah nasib pada UiTM FC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt bersedia menghadapi kemungkinan berhubung masa depannya bersama pasukan itu yang kini masih berada di kedudukan tercorot liga.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu bagaimanapun enggan menyerah kalah sebaliknya akan terus berusaha kerana saingan liga masih panjang dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Beliau yang diberi peluang kedua membimbing skuad The Lions Troops itu tidak menolak kemungkinan akan menyisihkan sistem permainan pasukan itu sebelum ini dengan corak permainan berbeza.

"Mungkin kami tidak boleh bermain cantik dan mengikut taktikal, kerana apa yang lebih penting adalah untuk mendapatkan mata dalam setiap perlawanan biarpun tanpa penyerang tulen.

"Namun saya tidak akan mengalah sebaliknya akan memberikan yang terbaik buat pasukan dalam misi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Selebihnya terpulang kepada pihak pengurusan untuk memutuskannya," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan yang berkesudahan pasukannya terus kempunan mengutip mata selepas tumpas 3-0 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak semalam.

Mengulas lanjut, Bernhardt tanpa berselindung akui tugas sukar untuk menyelamatkan skuadnya yang baharu mengutip satu mata selepas 12 perlawanan liga lebih-lebih lagi tanpa khidmat penyerang import.

Katanya, penyerang baharu bagi menggantikan Nana Poku dan Abou Bake Al Mel yang dilepaskan masih belum tiba.

Jurulatih kelahiran Jerman itu akui kelibat penyerang berkualiti begitu ditagih apatah lagi dengan situasi pasukan sekarang selain rekod jaringan hanya tiga gol daripada 12 perlawanan.

Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 3:00pm
d