Bola Sepak

Jangan 'kerek' sangat mai tempat orang - Sanusi

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Noor kecewa budaya ala samseng yang membabitkan suasana tegang terjadi dalam kalangan kejurulatihan dan juga pemain semasa perlawanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam.

Insiden antara kedua-dua pasukan ini berlaku sebaik tamat babak pertama semalam di mana kumpulan dari JDT dilihat menerpa ke bahagian jurulatih KDA FC dan tercetus perang mulut antara kedua-dua pihak.

Suasana panas dan tegang berkenaan dilihat terus berlaku hingga di luar padang sewaktu pemain mahu memasuki laluan ke bilik persalinan dan akhirnya sebelum perlawanan bersambung semula, suasana kembali tenang dengan dengan melihat ketua jurulatih Kedah bersalaman dengan pemain JDT.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah meluahkan rasa kesal kerana pihak lawan iaitu JDT yang hadir ke Stadium Darul Aman semalam dilihat sebagai tidak menghormati pihak tuan rumah.

"Gaya dan karektor mereka tu dah boleh nampak macam nak gaduh apabila mereka hampiri tempat kita. Padahal mereka datang ke stadium kita dan tak hormat kita dan mereka terpa (serbu) dekat jurulatih kita dan buat cengei (bengis).

"Ini ada karektor yang tidak bagus dalam sukan dan nampak kerek, mungkin pasukan mereka kaya dan gaji mereka mahal sementara kita pula tak ada duit. Jangan kerek sangat mai tempat orang, agak-agak la," katanya.

Muhammad Sanusi juga berkata pihak lawan tidak sepatutnya memperlakukan pasukan Kedah seperti pasukan belasahan walaupun mereka pandai bermain bola sepak.

"Kita pun tidaklah bodoh sangat, malah kita juga hampir menjaringkan dua gol semalam yang cuma terhalang oleh tiang dan palang," katanya.

Kejadian itu turut disaksikan Muhammad Sanusi yang hadir mengiringi Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, berangkat ke Stadium Darul Aman.

"Saya yakin satu hari nanti Kedah akan mampu menewaskan JDT , InsyaAllah...dan memang kita pernah tewaskan mereka sebelum ini." katanya

Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 4:51pm
d