Bola Sepak

Insiden tegang perkara biasa - Stuart

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum melihat laporan rasmi daripada pegawai perlawanan berhubung isu pergaduhan membabitkan pegawai dan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kepada mana-mana individu sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Namun katanya, berdasarkan rakaman perlawanan, beliau menyifatkan insiden berkenaan adalah perkara biasa dalam bola sepak terutama apabila membabitkan aksi tumpuan dua pasukan di tangga teratas liga.

Saya belum tengok sendiri laporan (komisioner) perlawanan, tetapi itu saya tak melihat ia satu isu besar. Hanya dua pihak bertembung dalam aksi yang cukup penting, di mana dua pasukan yang berada di tangga teratas liga dan sepakan penalti di hujung permainan...itu semua rencah dalam perlawanaan dua pasukan yang bersaing untuk kejuaraan liga.

"Kadangkala ia berlaku juga dalam perlawanan bola sepak di seluruh dunia, saya tak rasa perlu kita hangatkan isu di luar padang dan saya percaya dalam sidang media pun kedua-dua jurulatih cukup profesional mengulas insiden itu.

"Saya boleh nyatakan saya sendiri belum tengok laporan, tetapi kalau laporan oleh pegawai perlawanan atau pengadil FAM (wujud insiden pergaduhan) kita akan ambil tindakan jika perlu," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Noor kecewa dengan budaya ala samseng dalam kalangan pemain dan jurulatih ketika aksi membabitkan KDA dan JDT, Selasa lalu.

Insiden tegang antara kedua-dua pasukan berkenaan berlaku sebaik tamat babak pertama dengan pemain dan jurulatih JDT dilihat menerpa ke kawasan tempat bangku simpanan KDA dan tercetus perang mulut antara kedua-dua pihak.

Suasana panas dan tegang berkenaan dilihat terus berlaku hingga di luar padang sewaktu pemain mahu memasuki laluan ke bilik persalinan dan akhirnya sebelum perlawanan bersambung semula, suasana kembali tenang dengan melihat ketua jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak bersalaman dengan pemain JDT.

Kejadian itu turut disaksikan Muhammad Sanusi yang hadir mengiringi Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, berangkat ke Stadium Darul Aman.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 5:39pm
d