Bola Sepak

De Paula, Shahrul luah hasrat tinggalkan Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perak FC mengesahkan dua tonggak skuad Liga Super iaitu kapten mereka, Shahrul Mohd Saad dan pemain naturalisasi kelahiran Brazil, Guehelmie De Paula meminta pelepasan dari pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali, berkata justeru perbincangan dengan ejen De Paula dan Shahrul akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Pendedahan itu sekali gus mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang mengenai perpindahan Shahrul dan sikap sambil lewa De Paula ketika perlawanan.

Katanya, bagaimanapun setakat ini hanya Selangor yang menyatakan minat terhadap Shahrul yang mesra dengan panggilan 'Badak' oleh rakan sepasukan, walaupun dibuat secara tidak rasmi.

"Saya kira Selangor bertindak secara profesional dengan menghubungi Perak FC.

"Saya ingin tahu apa sebenarnya yang dalam perancangan mereka," katanya kepada pemberita di pejabat kelab itu, hari ini.

Sebelum ini, Shahrul dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Sri Pahang FC namun tiada sebarang maklumat mengenai pasukan Liga Malaysia yang sedang merisik De Paula.

Sementara itu, Rizal Ali berkata, pihaknya menafikan masih berhutang soal pembayaran gaji untuk tiga bulan kepada pemain The Bos Gaurus, sebaliknya hanya berhutang gaji bagi bulan April sahaja.

Beliau berkata, ia memandangkan gaji untuk bulan Mac sudah dilangsaikan semalam.

Katanya, bagaimanapun tiga pemain import iaitu De Paula, Careca dan Leandro belum dibayar gaji kerana kewangan yang tidak mencukupi.

Manakala beberapa tonggak tempatan diberi saguhati RM10,000 seorang di mana menurut Rizal Ali, baki gaji mereka iaitu gaji bulan April akan dibayar sebelum Aidilfitri ini.

"Saya ingin menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan pemain Perak tidak menerima tiga bulan gaji.

"(Sebaliknya) kita sudah bayar gaji bulan Mac dan akan memastikan tunggakan hanya sebulan," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 8:49pm
d