Bola Sepak

Tindakan Shukor tidak salah - Sadek

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tugas sebagai pemain adalah melaksanakan tanggungjawab menjaringkan gol dengan apa jua cara seterusnya membantu membawa kemenangan kepada pasukan.

Perkara terbabit diakui Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustaffa yang melihat jaringan menggunakan tangan oleh pemain veteran Kuala Lumpur City FC Shukor Adan tidaklah 'salah' kerana dia menggunakan apa jua kaedah bagi memastikan bola berjaya menerjah ke gol pihak lawan.

Sadek berkata, situasi berkenaan boleh diibaratkan seperti untung sabut timbul manakala untung batu pula tenggelam kerana jika pengadil menyedari tindakan itu dia akan dikenakan hukuman layangan kad.

Katanya, berdasarkan keputusan itu, Shukor tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya terhadap tindakan terbabit namun pengadil seharusnya lebih peka dan sensitif terhadap jaringan terbabit jika didapati benar menggunakan tangan.

"Jika ada video bantuan pengadil (VAR) bolehlah kita rujuk untuk membuktikan jaringan terbabit terkena tangan atau sebaliknya namun sekarang ini tiada sekali gus bergantung sepenuhnya kepada pengadil untuk membuat keputusan.

"Pada saya, Shukor tidak harus dipersalahkan kerana inilah bola sepak di mana sebelum ini legenda Argentina Diego Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan dan sekarang situasi sama berlaku di liga tempatan.

"Oleh itu, mutu pengadilan seharusnya dipertingkatkan lagi bagi memastikan perkara sama tidak berulang sekali gus boleh memberi imej buruk kepada bola sepak negara," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, penantian UiTM FC untuk mencipta kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian apabila diikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1.

Keputusan itu menyaksikan UiTM meraih mata kedua musim ini selepas tewas 11 aksi dan seri sekali dalam 12 aksi terdahulu untuk berada di tangga tercorot liga.

Manakala buat KL City pula, mereka gagal menggunakan peluang bertemu pasukan bawahan untuk cuba menambah tiga mata biarpun sebelum ini cukup gah mengejutkan beberapa pasukan terkuat liga.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan akan menyiasat perkara terbabit seterusnya mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat ini.

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 10:51pm
d