Bola Sepak

Klopp, Mane tak sebulu

Oleh Agensi

London: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Sadio Mane selepas pemain sayap itu dilihat berjalan tanpa berjabat tangan dengannya ketika mereka menang 4-2 ke atas Manchester United.

Mane tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama Liverpool namun dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menggantikan Diogo Jota yang menyamakan kedudukan buat Merseysiders selepas jaringan pertama Bruno Fernandes.

Klopp berjalan ke arah Mane untuk mengucapkan tahniah atas penampilannya selepas tamat perlawanan dan kamera televisyen merakamkan gambar bintang Senegal itu enggan berjabat tangan dengan bosnya itu.

Ketua The Reds semalam berkata, beliau masih belum mempunyai peluang untuk berbincang dengan Mane namun memberi jaminan 'semuanya akan baik-baik saja' apabila mereka berbincang nanti.

"Anda tidak boleh membuatkan cerita yang lebih besar daripada itu."

"Bola sepak adalah permainan yang emosi dan semua orang mengharapkan kita untuk mengawal emosi kita selalu.

"Tapi ia tidak selalu berlaku seperti itu. Ia berlaku kepada saya sebagai pemain, berlaku kepada pemain lain ketika saya menjadi jurulatih mereka.

"Kami tidak mempunyai peluang setakat ini, tidak mempunyai kesempatan untuk berbincang mengenainya tapi kami akan melakukannya dan semuanya akan baik-baik saja.

"Adakah kita mahu perkara seperti ini terjadi?. Tidak. tetapi ini bukan kali pertama dalam hidup saya dan saya takut untuk mengatakannya, mungkin ini bukan kali terakhir. Itu saja," katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 11:06am
d