Bola Sepak

Azraai dirisik kelab dari utara

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Bekas ketua jurulatih Kedah ketika zaman 'Double Treble' Azraai Khor Abdullah kini dalam perhatian pasukan di utara tanah air untuk jawatan Pengarah Teknikal bagi mengukuhkan pembangunan serta perancangan bola sepak dalam Liga Malaysia musim ini.

Azraai yang meraih pencapaian rekod kejuaraan 'treble' dua tahun berturut-turut dan belum 'dipecahkan' mana-mana jurulatih setakat ini memaklumkan beliau setakat ini sudah menghantar resume pengalaman dan kerjayanya selepas 'dipelawa' kelab dari negeri berkenaan.

"Saya sudah diminta untuk menghantar resume kepada kelab berkenaan dan jika ada rezeki dan diterima, Insya Allah saya akan kembali dalam arena bola sepak terkini.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, namun biarlah kelab berkenaan menilai dan menghargai pengalaman serta rekod yang saya capai sebelum ini dan setimpal dengan apa yang mereka rancangkan dan jika dipanggil, saya anggap itu rezeki.

"Di usia begini, saya lebih cenderung untuk menabur bakti dari sudut pembangunan secara keseluruhan berbanding kejurulatihan yang perlu ada sijil profesional seperti yang dikehendaki oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)". katanya.

Azraai yang memiliki pengalaman luas dalam kancah pembentukan kejayaan gemilang skuad Hijau Kuning sejak era bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil itu bagaimanapun mengakui hasrat sebenar beliau pada asalnya lebih terarah dan mahu dicurahkan kepada negeri kelahirannya iaitu Kedah Darul Aman.

"Memang saya tahu ramai penyokong yang mahu saya kembali kepangkuan pasukan Kedah untuk membangunkan lagi tahap pembangunan bola sepak di Kedah, namun biarlah pihak pengurusan Kedah sendiri yang membuka peluang berkenaan terlebih dahulu dari kelab negeri lain.

"Saya tidak pasti dengan perancangan terkini di Kedah, tetapi apa yang penting, saya sentiasa menjadikan ilmu semasa saya menggalas tugas ketua jurulatih Kedah pada zaman kegemilangan 'Double Treble' dibawah pengurusan Allahyarham Datuk Ahmad Basri sebagai panduan untuk memajukan tahap bola sepak tempatan.

"Segala pengalaman, kegemilangan lalu yang tercapai akan saya kumpulkan untuk saya jadikan bekalan dalam melangkah untuk memperkasakan bidang pembangunan bola sepak selepas ini jika diberi peluang". katanya.

Azraai memulakan langkahnya dalam bidang kejurulatihan bermula tahun 1990 apabila mengendalikan Piala Presiden Kedah dan antara kejayaan besar yang pernah dilakarnya adalah membawa Kedah ke pentas final Piala Malaysia 2004, juara Liga Perdana 2006, Juara Double Treble 2007 dan 2008.

Jurulatih berusia 68 tahun itu juga pernah dilantik pengendali Harimau Muda A pada 2010 dan membantu mencipta kejayaan untuk Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia 2011, serta membawa Kelantan ke pentas final Piala FA 2015.

Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 5:25pm
d