Bola Sepak

Perlu masa untuk penswastaan sepenuhnya - Wirdati

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Industri bola sepak Malaysia memerlukan masa sebelum benar-benar mampu mencapai tahap kematangan terutama dalam merealisasikan konsep penswastaan dalam erti kata sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Profesionalisasi Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Dr Wirdati Mohd Radzi berkata, ketika ini penswastaan pasukan Liga Malaysia (Liga M) berada pada tahap memuaskan selepas semua pasukan sudah bergerak secara berasingan daripada persatuan bola sepak negeri (FA) sejak tahun lalu.

Namun beliau mengakui, masih terdapat beberapa kelab yang masih dibayangi FA dengan individu sama turut memegang jawatan di dalam kelab bola sepak (FC).

Menurut Wirdati yang juga bekas Pesuruhjaya Sukan, pihaknya bersedia untuk memperbaiki beberapa aspek berkaitan pengurusan penswastaan bagi menambah baik sistem yang ada.

"Sekarang ini kita pada fasa ketiga proses penswastaan iaitu di peringkat mendidik kelab, dengan MFL sudah pergi ke kelab untuk fasa ketiga ini sebelum masuk ke fasa empat perubahan menyeluruh.

"Tapi memang kita pun dah jangka terdapat (isu pengurusan FA dan FC) di mana kita lihat ada beberapa perkara menyebabkan kesukaran dan kita sedia nak menstrukturnya semula.

"Kita akan bawa ke peringkat jawatankuasa untuk melihat apa yang kelab perlukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 10:55pm
d