Bola Sepak

Habib dalam radar TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas tidak berjaya mendapatkan bekas pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, bintang kelahiran Bahrain, Habib Haroun kini berada dalam radar skuad Penyu itu.

Pemain berusia 21 tahun itu yang sebelum ini beraksi dengan kelab divisyen 2 Liga Bahrain, Al Khalidiya secara pinjaman daripada juara divisyen 1, Al Riffa SC kini dikaitkan dengan skuad kendalian Nafuzi Zain bagi menggantikan Christopher Herd yang mengalami kecederaan.

Malah berita kehadiran pemain tengah yang membantu kelab Al Khalidiya muncul naib juara liga itu semakin bertiup kencang apabila pemain berketinggian 1.70 meter itu memuatnaik berita perpindahannya dalam laman sosial Instagramnya semalam.

Laman sosial di negara ini juga turut berkongsi cerita mengenai kehadiran pemain yang memiliki rembatan padu itu yang pernah beraksi bersama penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba ketika bersama kelab Riffa SC pada 2019.

Jika ianya menjadi kenyataan, pemain muda yang berpengalaman beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia selain pernah beraksi dalam saingan Piala AFC musim lalu bakal mengisi kuota pemain import Asia bagi menggantikan bekas pertahanan Aston Villa kelahiran Australia itu.

Semalam TFC mendapatkan kembali bekas arkiteknya, Lee Tuck secara pinjaman daripada Sri Pahang selepas bekas majikannya itu menggugurkannya bersama tiga lagi import apabila jendela kedua perpindahan pemain dibuka bermula 3 Mei hingga hujung bulan ini.

Selain Tuck, TFC setakat ini memiliki pemain import kelahiran Mali, Makan Konate, pemain Filipina, Carli De Murga dan penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva selepas mengetepikan Herd dan kapten Namibia, Petrus Shitembi kerana mengalami kecederaan serius yang memerlukan rehat yang panjang.

TFC bakal 'berkampung' di Stadium Jalan Besar Singapura bermula 30 Jun sehingga 6 Julai depan bagi menghadapi saingan Piala AFC dalam Kumpulan I bersama tiga lagi pasukan iaitu Geylang FC (Singapura), Kaya FC (Filipina) dan pemenang aksi 'playoff' antara wakil Timor Leste, Lalenok United dan wakil Kemboja, Visakha FC.

Kali terakhir Terengganu beraksi dalam saingan peringkat Asia itu pada 2012 dan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik pada penampilan sulungnya itu.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 8:32pm
d