Bola Sepak

Bintang bola sepak Israel 'koyak'

Oleh Agensi

London: Bekas pemenang kasut emas Liga Super China, Eran Zahavi mengedit gambar bintang Manchester United, Paul Pogba dan Amad Diallo yang mengibarkan bendera Palestin kepada bendera Israel di media sosial sekali gus mencetuskan kontroversi.

"Terima kasih," tulis pemain berusia 33 tahun itu di gambar yang sudah di edit.

"Kami menghargai sokongan anda di seluruh dunia," tambahnya.

Beratus penduduk terbunuh di Gaza sejak rejim Zionis Israel melakukan serangan ke atas Palestin dengan beberapa bintang bola sepak menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Pogba dan Diallo diberikan bendera Palestin oleh penyokong Manchester United yang kembali menyaksikan perlawanan di Old Trafford ketika seri 1-1 dengan Fulham.

Kedua-dua pemain beragama Islam itu mengibarkan bendera Palestin mengelilingi stadium sebelum Zahavi yang juga pemain antarabangsa Israel mengedit gambar berkenaan.

Zahavi yang kini beraksi bersama PSV Eindhoven selepas meninggalkan Guangzhou R&F pertengahan musim lalu, melakukan perkara sama ke atas gambar barisan pemain Leicester City selepas kelab itu memenangi Piala FA, Sabtu lalu.

Hamza Choudhury dan Wesley Fofana dilihat memegang bendera Palestin mengelilingi Stadium Wembley selepas menewaskan Chelsea 1-0.

Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 1:26pm
d