Bola Sepak

Habib bakal sertai TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bukan lagi spekulasi sebaliknya pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroun hampir pasti menyarung jersi Terengganu FC (TFC) bagi memperkasakan lagi jentera tengah skuad Penyu itu yang bakal bersaing dalam kempen Piala AFC pada hujung bulan depan.

Pemain berusia 21 tahun itu yang pernah beraksi bersama penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba ketika menyarung jersi Al Riffa SC dalam Liga Bahrain pada 2019 bakal diperkenalkan pasukan itu jika semua dokumen selesai.

Malah bekas pemain kelab Al Khalidiya SC dalam Liga Bahrain itu juga bagaikan tidak sabar untuk memijak bumi Malaysia selepas memuatnaik berita perpindahannya serta gambar dalam laman sosialnya.

Kehadiran pemain yang berpengalaman beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia serta Piala AFC musim lalu bakal memberi impak yang positif kepada pasukan kendalian Nafuzi Zain itu selain TFC dilihat mempunyai perancangan jangka panjang terhadap pemain muda itu.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, pemain berketinggian 1.70 meter itu bakal diumumkan secara rasmi sebelum tarikh tutup jendela kedua perpindahan pemain yang berbaki sembilan hari sahaja lagi.

"Ya pemain berkenaan bakal mengisi kuota pemain import Asia bagi menggantikan bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd yang diketepikan akibat kecederaan yang memerlukan pembedahan.

"Jika semua dokumen selesai dan tidak ada sebarang masalah termasuk pemeriksaan kesihatan, pemain yang bakal memperkuatkan jentera tengah pasukan itu akan tiba di Kuala Lumpur minggu depan.

"Bagaimanapun saya jangkakan pemain itu bakal menjalani latihan bersama rakan pasukannya pada bulan depan kerana perlu dikuarantinkan di ibu kota terlebih dahulu," menurut sumber itu.

Jika kelibat pemain dari negara Asia Barat itu menjadi kenyataan, jentera tengah skuad Penyu itu bakal bertambah mantap terutama dengan kehadiran semula pemain berdarah kacukan England-Malaysia, Lee Tuck secara pinjaman selain arkitek kelahiran Mali, Makan Konate.

Ketika ditanya mengenai pemain Terengganu FC II (TFC II), Dechi Marcel, sumber itu menyatakan kemungkinan besar pemain kelahiran Ivory Coast itu akan beraksi semula dengan bekas pasukannya itu.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada barisan kejurulatihan sama ada mahu menggunakan khidmat Marcel ataupun sebaliknya lebih-lebih lagi pemain itu beraksi cemerlang sepanjang menyarung jersi TFC," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 6:12pm
d