Bola Sepak

Guardiola tagih sentuhan terakhir Aguero

Oleh AFP

London: Pep Guardiola berharap Sergio Aguero akan cergas sepenuhnya untuk penampilan terakhir bersama Manchester City esok selepas sedekad meraih pelbagai kejayaan bersama kelab Liga Perdana itu.

Aguero memegang rekod selaku penjaring terbanyak kelab dengan 258 gol sejak berhijrah dari Atletico Madrid pada 2011 dan membantu City memenangi lima kejuaraan Liga Perdana serta trofi lain.

Penyerang antarabangsa Argentina itu berdepan masalah kecederaan dan terlepas dua perlawanan terakhir tetapi Guardiola yakin dia dapat beraksi di depan 10,000 penonton yang akan menyaksikan perlawanan di Stadium Etihad, esok.

Juara Liga Perdana itu akan bertemu Everton pada perlawanan terakhir sebelum memberi fokus kepada aksi final Liga Juara-Juara bertemu Chelsea, minggu hadapan.

"Kami akan buat keputusan. Jika dia boleh beraksi, maka dia akan bermain. Dia sudah menjalani latihan," kata Guardiola.

Aguero yang menduduki tangga keempat penjaring terbanyak sepanjang zaman di Liga Perdana dengan 182 gol, akan sentiasa diingati selepas meledak gol kemenangan pada masa kecederaan yang memastikan City meraih gelaran Liga Perdana buat kali pertama pada 2012.

"Dia adalah pemain yang berkualiti. Tidak perlu menambah fakta lain lagi," kata Guardiola.

"Prestasinya ketika masih cergas sangat luar biasa. Saya yakin 10,000 penonton yang akan berada di stadium akan memberikan penghormatan dan penghargaan kepadanya selepas memberi sumbangan besar kepada kelab.

"Apabila dia cergas, dia seperti Romario di Brazil," kata Guardiola yang berjaya membimbing kelab itu memenangi gelaran Liga Perdana sebanyak tiga kali sepanjang tempoh empat tahun.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 8:28am
d