Bola Sepak

Bagaikan mimpi, namun gembira - 'Rooney Ganu'

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain berdarah kacukan England-Malaysia, Lee Tuck akui dia bagaikan bermimpi kembali semula bersama bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) selepas diketepikan pasukan Sri Pahang pada jendela kedua perpindahan pemain yang bermula 3 hingga 30 Mei ini.

Pemain berusia 33 tahun itu yang bakal menjadi pemain naturalisasi musim depan berkata, dia begitu teruja apabila dipanggil semula pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd bagi memantapkan lagi jentera tengah skuad Penyu itu.

Bagaimanapun katanya, sebelum bersetuju dengan pelawaan daripada skuad kendalian Nafuzi Zain itu, beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super dan Liga Perdana juga diterimanya, namun di hatinya hanya pasukan TFC.

"Sebenarnya saya tidak terfikir untuk kembali semula ke Terengganu apatah lagi saya mempunyai misi yang tersendiri dengan pasukan baharu pada musim baharu, namun siapa sangka saya akan bermain secara pinjaman di Terengganu sehingga akhir musim ini.

"Saya begitu gembira dapat kembali semula beraksi dengan bekas pasukan walaupun mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super dan Perdana, ini kerana saya ada banyak pengalaman di sana (Terengganu), termasuk bermain dengan rakan lama.

"Lagipun pengurusan pasukan itu antara yang terbaik sepanjang karier saya selain sudah ada pengalaman dan ditambah barisan jurulatih juga telah lama memahami corak permainan saya, ia juga cukup baik bagi keluarga saya lebih-lebih lagi ketika ini isteri sedang mengandung anak kedua, jadi saya mahukan persekitaran yang sudah biasa buat isteri tersayang.

"Selain itu para penyokong TFC adalah antara yang terbaik kerana sentiasa memberikan motivasi kepada pasukan, sebab itu saya memilih TFC, kini saya begitu bersedia untuk kembali bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Ketika ditanya apakah impiannya bersama skuad itu, pemain digelar 'Rooney Ganu' yang pada mulanya terkejut dengan rombakan dilakukan bekas pasukannya itu mahu hadiah trofi kejuaraan kepada peminat setia skuad Penyu selain membantu pasukan itu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC musim ini.

"Sebagai pemain bola sepak saya terima keputusan itu secara profesional selepas diketepikan bekas pasukan, impian saya sudah pastinya memenangi sekurang-kurangnya satu piala selain melangkah lebih jauh dalam saingan peringkat Asia walaupun sedar bukan tugas mudah untuk melakukannya.

"Tapi keyakinan diri perlu ada kepada semua pemain selain perlu bekerja keras dan semangat yang tinggi, saya percaya pasukan TFC adunan pemain muda dan berpengalaman ditambah tonggak import, skuad itu ada kualiti untuk memenangi piala ditambah dengan pengurusan yang bagus," katanya.

Kehadiran Tuck sertai seorang lagi pemain dari Bahrain, Habib Haroun sekali gus melengkapkan kuota pemain import skuad Penyu itu yang sebelum ini diperkuatkan pemain Filipina, Carli De Murga, David Da Silva (Brazil) dan pemain tengah kelahiran Mali, Makan Konate.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 4:29pm
d