Bola Sepak

PJ City tagih khidmat Hazwan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Hasrat kelab Petaling Jaya (PJ) City FC untuk mendapatkan khidmat pemain Johor Darul Ta`zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), terus dinantikan.

Pengurus pasukan PJ City, K Rajendran berkata, kelab itu sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain berpengalaman terbabit bagi memperkuatkan lagi jentera serangan pada jendela perpindahan yang akan berakhir beberapa hari lagi.

"Memang kelab sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Hazwan kerana dia seorang pemain berpengalaman yang diyakini boleh membantu memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan.

"Jika dapat dia (Hazwan) amat bagus kerana kita perlu mantapkan lagi barisan depan, tambahan pula penyerang utama pasukan, Darren Lok menghadapi masalah kecederaan.

"Bagaimanapun, setakat ini usaha itu belum mendapat perkembangan dan maklum balas daripada kelabnya. Kita berharap usaha kita berjaya," katanya.

Menurutnya, biarpun beberapa pasukan lain dilihat menukar dan membawa masuk pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan yang akan berakhir hujung bulan ini, namun PJ City terus kekal dengan barisan pemain sedia ada.

"Kita tidak bercadang untuk menukar pemain sedia ada sebaliknya hanya mengharapkan dapat membawa masuk Hazwan bagi memperkuatkan jentera serangan," katanya.

Rajendran berkata, setakat ini skuad di bawah bimbingan P Maniam itu masih mampu memberikan saingan yang baik dengan pencabar lain dalam Liga Super.

Katanya, walaupun hanya mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan tetapi mereka sudah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang 13 perlawanan liga yang sudah diharungi setakat ini.

"Kami optimis mampu memberikan cabaran dan mengekalkan rentak permainan terbaik sebaik liga bersambung pada Julai nanti walaupun tanpa khidmat pemain import," katanya.

Selepas menamatkan 13 perlawanan, PJ City yang dibarisi pemain tempatan berada pada kedudukan ke lapan carta liga, hasil tiga kemenangan, enam seri dan empat tewas dengan mengumpul 15 mata.

Disiarkan pada: May 27, 2021 @ 9:17pm
d