Bola Sepak

Turki akur kehebatan Itali

Oleh Agensi

Rom: Ketua jurulatih Turki, Senol Gunes mengakui barisan pemainnya berdepan tugas sukar pada aksi pembuka tirai Euro 2020 selepas tewas 0-3 kepada Itali.

Selepas berjaya mempertahankan kedudukan tanpa jaringan di babak pertama, Turki gagal meneruskan rentak cemerlang itu pada separuh masa kedua apabila dibolosi tiga gol dengan yang pertama menerusi gol sendiri Merih Demiral.

Pemain pertahanan itu kini memegang rekod selaku pemain pertama menjaringkan gol ke gawang sendiri pada aksi pembukaan Euro.

Penyerang Itali, Ciro Immobile dan Lorenzo Insigne melengkapkan kemenangan bermakna Azzurri.

"Ia bukan hari kami. Kami mula kehilangan bola dan tidak dapat melakukan serangan. Itali pasukan lebih baik, kami tewas kepada pasukan lebih bagus," kata Gunes.

"Mereka lebih mendominasi permainan berbanding kami. Banyak kali kami kehilangan bola dan ia memberikan kelebihan kepada lawan.

"Selepas kami melepaskan gol pertama, tumpuan pemain terus terganggu dan hilang fokus selepas itu."

Gunes mahu melupakan segera kekalahan itu sebaliknya menuntut barisan pemainnya fokus kepada perlawanan seterusnya.

Disiarkan pada: June 12, 2021 @ 11:42am
d