Bola Sepak

Finland buat Denmark tergamam

Oleh AFP

Copenhagen: Finland membuat penampilan sulung di kejohanan besar dengan kemenangan mengejut 1-0 ke atas Denmark pada perlawanan Euro 2020 di Copenhagen, hari ini, yang dibayangi insiden Christian Eriksen rebah di padang.

Joel Pohjanpalo menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-60 sebelum Pierre-Emile Hojbjerg menyaksikan sepakan penalti diambilnya berjaya diselamatkan penjaga gol Finland, Lucas Hradecky.

Perlawanan itu ditangguhkan hampir dua jam selepas Eriksen rebah pada hujung aksi babak pertama dan memerlukan rawatan kecemasan daripada petugas kesihatan sebelum dikejarkan ke hospital.

Wujud kebimbangan mengenai status kesihatannya apabila dia diberikan rawatan CPR di padang manakala rakan sepasukannya yang kelihatan menangis membuat bulatan mengelilingi Eriksen.

Suasana di stadium menjadi sunyi secara tiba-tiba sebelum Eriksen diusung keluar dan gambar menunjukkan dia mengangkat kepala di atas pengusung mula tersebar.

Kesatuan Bola Sepak Denmark (DBU) kemudian menyatakan pemain Inter Milan itu sudah sedar dan boleh bercakap dengan rakan sepasukannya sebelum perlawanan disambung semula.

"Kami ada berhubung dengannya dan pemain bercakap dengan Christian," kata Pengarah DBU, Peter Moeller kepada Danmarks Radio (DR).

"Ia adalah berita yang hebat. Dia sihat dan pemain turun bermain perlawanan untuknya."

Perlawanan disambung dua jam setengah kemudian dan pemain menamatkan beberapa minit aksi babak pertama sebelum berehat lima minit dan menyambung aksi babak kedua.

Pemain Denmark menguasai permainan sebelum dikejutkan dengan tandukan Pohjanpalo yang menerjah gawang tuan rumah hasil hantaran lintang Jere Uronen.

Denmark mendapat sepakan penalti apabila Yussuf Poulsen dijatuhkan Paulus Arajuuri pada minit ke-73, tetapi sepakan penalti lemah Pierre-Emile Hojbjerg mudah diselamatkan Hradecky.

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 3:49am
d