Bola Sepak

Virus Covid-19 terus hantui Copa America

Oleh Agensi

Brasilia: Kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang terbabit dengan Copa America meningkat kepada 52 dengan 11 lagi kes baru dicatatkan sejak dua hari lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Brazil dua daripada kes terbaru membabitkan pemain atau pegawai pasukan yang beraksi dalam kejohanan itu.

Maklumat terperinci tidak didedahkan atau menyebut pasukan mana yang terbabit dengan kes terbaru itu.

Secara keseluruhan 33 pemain atau pegawai dari Venezuela, Colombia dan Bolivia disahkan positif sejak Ahad lalu, iaitu hari pembukaan kejohanan berkenaan yang berlangsung serentak di empat buah bandar.

Sementara itu, 19 kes lagi membabitkan pekerja di hotel yang menempatkan pasukan bertanding di Brasilia dan Rio de Janeiro.

Brazil memikul tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah Copa America 31 Mei lalu iaitu kurang dua minggu sebelum sepak mula.

Mereka mengambil alih selepas Argentina menarik diri berikutan peningkatan kes Covid-19 walaupun gelombang jangkitan masih berlaku di seluruh Brazil.

Semalam 2,468 kematian dicatatkan disebabkan virus berkenaan di Brazil dan Kementerian Kesihatan berkata, keseluruhan 490,696 kematian jumlah paling tinggi berbanding negara lain kecuali Amerika Syarikat.

.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 9:49am
d