Bola Sepak

Bukan mudah catat kemenangan - Mancini

Oleh AFP

Paris: Itali menjadi pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati Euro 2020 selepas pemain tengah Manuel Locatelli meledak dua gol ketika mengalahkan Switzerland 3-0 di Rom sebentar tadi.

The Azzurri, sekarang ini tidak pernah kalah selepas 29 perlawanan dan memenangi 10 perlawanan terakhir tanpa melepaskan sebarang gol, menduduki tangga teratas Kumpulan A dan memastikan kelompok dua teratas untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

"Kami bermain dengan baik, kami mahu menang dalam semua perlawanan. Mereka bermula dengan baik, ia bukan mudah untuk menang dua kali berturut-turut dalam tempoh lima hari," kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

Anak buah Mancini, cuba untuk meraih kejayaan kedua Itali di Euro selepas kali terakhir melakukannya pada 1968.

Mereka akan menanti kunjungan Wales dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Isnin ini, dengan masing-masing memburu kedudukan juara kumpulan.

Bintang baru menyinar di Stadio Olimpico, apabila pemain Sassuolo, Locatelli meledak dua gol sebelum Ciro Immobile menjaringkan gol ketiga.

Ketua pasukan, Giorgio Chiellini mempunyai peluang awal untuk meledak gol namun usahanya dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan, sebelum pertahanan berusia 36 tahun itu terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan paha.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah sentiasa dilihat lebih merbahaya dan mendahului perlawanan pada minit ke-26.

Locatelli melakukan hantaran melalui sepakan voli cantik kepada rakan sepasukannya di Sassuolo, Domenico Berardi yang menghantar semula kepada Locatelli disusuli tampanan mudah ke dalam gawang gol.

Tiga mata penuh dan slot ke pusingan kalah mati buat kali keempat berturut-turut seakan sudah dimuktamadkan selepas tujuh minit aksi kedua bersambung apabila Locatelli meledak gol kedua hasil rembatan kaki kiri dari luar petak penalti.

Immobile melepaskan beberapa peluang awal untuk menjaringkan gol namun dia berjaya meraih gol keduanya di kejohanan ini pada minit ke-89 selepas melakukan rembatan lencong rendah melepasi penjaga gol Switzerland, Yann Sommer.

Swizterland sekarang ini perlu menumpaskan Turki di Baku untuk mencari tempat ke pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 6:14am
d