Bola Sepak

Satu mata berharga untuk Scotland

Oleh AFP

London: Kapten Andy Robertson berkata Scotland perlu bangkit daripada keputusan seri 0-0 dengan England di Wembley untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama di saingan Euro.

Beraksi di kejohanan Eropah itu buat kali pertama selepas 25 tahun, Scotland perlu menewaskan finalis Piala Dunia 2018, Croatia di Hampden pada perlawanan terakhir untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir.

Selepas tewas 0-2 kepada Republik Czech pada perlawanan pertama, Scotland tidak diletakkan harapan tinggi.

Bagaimanapun mereka mempamer aksi cemerlang ketika bertemu seteru lama, England dengan menafikan serangan lawan mereka itu.

"Kami tidak dapat keputusan yang dimahukan. Tetapi berjaya mengutip satu mata dan ia menghidupkan peluang kami," kata Robertson kepada ITV.

"Adalah amat penting untuk merasai perasaan ini dan penyokong sangat gembira. Kami akan cuba meraih keputusan lebih positif."

Pemain tengah Chelsea, Billy Gilmour memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan pada penampilan pertamanya bersama skuad senior Scotland dan Robertson memuji aksi pemain berusia 20 tahun itu.

"Saya percaya dia akan memperoleh banyak peluang beraksi bersama Scotland. Dia mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 6:04am
d