Bola Sepak

Depay sah milik Barcelona

Oleh AFP

Seville: Barcelona mengumumkan menandatangani Memphis Depay, hari ini, dan penyerang itu akan menyertai mereka selepas kontraknya bersama Lyon tamat, hujung bulan ini.

Barca bersetuju menawarkan kontrak dua tahun untuk penyerang Belanda itu.

Ia adalah pemain ketiga menyertai kelab itu secara perpindahan percuma pada musim panas ini selepas kehadiran Sergio Aguero dan Eric Garcia.

Depay sudah lama menjadi sasaran jurulatih Barcelona, Ronald Koeman, yang bekerjasama dengan pemain itu ketika dia mengendalikan skuad kebangsaan Belanda.

Koeman menjadi penonton di Amsterdam. Khamis lalu ketika menyaksikan Depay menyempurnakan sepakan penalti yang membolehkan Belanda menang 2-0 ke atas Austria di Euro 2020.

Pemain berusia 27 tahun itu nyaris menyertai Barca dengan yuran perpindahan RM123 juta, tahun lalu sebelum yuran dikurangkan pada Januari, sebelum kelab itu menunggu sehingga kontraknya dengan Lyon tamat.

"FC Barcelona dan Memphis Depay mencapai persetujuan menyertai kelab selepas kontraknya dengan Olympique de Lyon berakhir.

"Dua akan menandatangani kontrak sehingga hujung musim 2022/23," kata kelab itu.

Depay menjaringkan 20 gol dalam 38 perlawanan untuk Lyon, tahun lalu dan lima gol dalam empat aksi terakhir untuk Belanda.

Dia dijangka bersaing dengan Aguero untuk posisi penyerang tengah pada ketika Koeman mahu menambah sengat jentera serangan.

Masalah kewangan mungkin menyebabkan kelab itu menjual beberapa pemain dengan Philippe Coutinho, Samuel Umtiti dan Miralem Pjanic dijangka meninggalkan Barcelona.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 1:22am
d