Bola Sepak

Jerman bangkit belasah Portugal

Oleh AFP

Munich: Jerman bangkit semula pada kempen Euro 2020 dan memastikan persaingan Kumpulan F terbuka luas apabila membelasah Portugal 4-2 di Munich, hari ini.

Aksi juara dunia, Perancis yang berkesudahan 1-1 dengan Hungary di Budapest dan kemenangan Jerman itu menyaksikan perlawanan terakhir kumpulan pada Rabu ini akan menjadi penentu.

Jerman akan melayan kunjungan Hungary manakala Perancis bertemu juara bertahan, Portugal.

Selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-107 antarabangsa dan ketinggalan dua gol di belakang rekod jaringan dipegang pemain Iran, Ali Daei, untuk meletakkan Portugal di depan, Jerman mengamuk apabila membalas empat gol.

Tekanan berterusan pemain Jerman menghasilkan dua gol sendiri pemain Portugal oleh Ruben Dias dan Raphael Guerreiro, sekali gus membolehkan tuan rumah mendahului 2-1 sehingga rehat.

Gol jaringan Kai Havertz menunjukkan dominasi Jerman sebelum bek kiri, Robin Gosens muncul pemain terbaik perlawanan dengan menanduk masuk gol keempat pasukannya, selepas melakukan dua umpanan menghasilkan gol sebelum ini.

Portugal cuba melawan apabila Diogo Jota menyempurnakan hantaran Ronaldo untuk menjadikan kedudukan 4-2 pada ketika perlawanan berbaki 23 minit.

Keputusan itu menyaksikan Jerman mendominasi Portugal dengan kemenangan kelima berturut-turut di Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah sejak Euro 2000.

Jerman mencipta banyak peluang berbanding ketika tewas 0-1 di tangan Perancis, Selasa lalu manakala Portugal kurang berbisa berbanding kemenangan 3-0 ke atas Hungary pada hari sama.

Malah, Jerman menyaksikan jaringan mereka dibatalkan VAR pada minit kelima apabila Serge Gnabry berada pada kedudukan ofsaid ketika Gosens menyempurkan rembatan voli.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 2:36am
d