Bola Sepak

Pessina bantu Itali teruskan kecemerlangan

Oleh AFP

Rom: Matteo Pessina menjaringkan gol untuk membantu Itali mencatat kemenangan kali ketiga berturut-turut di Euro 2020 selepas menumpaskan Wales yang beraksi dengan 10 pemain 1-0 sekali gus muncul juara Kumpulan A.

Gol Pessina itu membolehkan Itali berdepan naib juara Kumpulan C untuk pusingan seterusnya, manakala Wales akan menentang pasukan tangga kedua Kumpulan B.

Dalam penampilan kali ke-35 mengendalikan The Azzurri yang gagal layak ke Piala Dunia 2018, Roberto Mancini juga berjaya menyamai rekod Itali berusia 80 tahun/.

Itali meneruskan rekod tanpa kalah dalam 30 perlawanan selepas mencatat 25 kemenangan dan lima kali seri, di mana kali terakhir pencapaian ini dicatatkan ialah di bawah jurulatih yang memenangi Piala Dunia sebanyak dua kali, Vittorio Pozzo dari 1935 hingga 1939.

Ia juga adalah kemenangan kali ke-11 berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol buat Itali yang sebelum ini sudah mengesahkan slot lebih awal ke pusingan kalah mati.

Itali akan berdepan sama ada Ukraine atau Austria di Wembley pada 27 Jun untuk mencari slot ke suku akhir.

Wales yang berjaya mara ke separuh akhir pada 2016, bergelut dalam aksi sebentar tadi apabila hampir sepanjang separuh masa kedua beraksi dengan 10 pemain apabila Ethan Ampadu diperintah keluar padang kerana mengasari Federico Bernardeschi.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 2:54am
d