Bola Sepak

Switzerland intai slot ketiga terbaik

Oleh AFP

Baku: Xherdan Shaqiri meledak dua gol untuk membantu Switzerland mencatat kemenangan 3-1 ke atas Turki di Baku namun mereka harus menunggu sama ada mampu layak ke pusingan 16 akhir Euro 2020 sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik tangga ketiga.

Wales mara selepas muncul naib juara Kumpulan A dan bergantung harap kepada kelebihan perbezaan jaringan apabila tumpas 0-1 kepada Itali.

Gol Shaqiri hadir selepas Haris Seferovic membuka jaringan pada separuh masa pertama dan gol tunggal Turki untuk kejohanan ini disumbangkan Irfan Kahveci.

Jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic melakukan dua perubahan selepas tumpas kepada Itali Khamis lalu, termasuk memberi peluang Steven Zuber membuat penampilan pertama di kejohanan ini.

Percubaan rendah Seferovic pada minit keenam berjaya menumpaskan penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir dan 20 minit kemudian hasil rembatan lencong Shaqiri.

Selepas sejam perlawanan berlangsung Kahveci merapatkan jurang dengan rembatan kaki kiri menuju ke penjuru gawang dan ia adalah gol sulungnya di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Switzerland menambah satu lagi jaringan enam minit kemudian selepas menerima hantaran dari Zuber dan ia terjadi melalui serangan balas pantas.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 3:09am
d