Bola Sepak

Czech tidak mahu dibelasah di Wembley

Oleh AFP

London: Republik Czech bertandang ke Wembley untuk menentang England pada aksi Kumpulan D Euro 2020, malam esok dengan harapan mengelak tragedi dibelasah 0-5 pada peringkat kelayakan 2019.

"Sudah itu kami masih ingat perlawanan itu," kata jurulatih Czech, Jaroslav Silhavy kepada media di London, hari ini.

"Kami sudah belajar, kami sudah berubah sejak perlawanan itu dan saya percaya aksi esok pasti berbeza dan lebih baik buat kami."

Diinspirasikan jaringan hatrik Raheem Sterling, England menghadiahkan kekalahan terbesar buat Czech sejak mereka merdeka pada 1993 selepas berpisah dengan Slovakia, dua tahun lalu.

Czech kemudian membalas dendam apabila mereka menang 2-1 di tempat sendiri, enam bulan kemudian untuk layak ke Euro sebagai pasukan kedua di belakang England.

Malah, mereka kini boleh membalas dendam itu dan hanya perlukan satu mata untuk menduduki tangga teratas Kumpulan D mengatasi the Three Lions.

"Mereka tetap pasukan lawan yang hebat dibarisi ramai pemain bintang," kata kapten Czech, Vladimir Darida, yang bermain kedua-dua perlawanan kelayakan dengan England.

"Tetapi dalam dua perlawanan terakhir, mereka kurang berkesan berbanding peringkat kelayakan dan kami perlu mengambil kesempatan atas keadaan itu," kata pemain tengah Hertha Berlin itu.

England mengatasi Croatia 1-0 sebelum seri tanpa jaringan dengan Scotland, manakala Czech menang 2-0 ke atas Scotland dan seri 1-1 dengan Croatia.

"Kami mahu bermain seperti ketika kami menang di Prague. Pemain tahu kesungguhan, kerja keras dan tanggungjawab kepada pasukan ketika itu," kata Silhavy.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 1:44am
d