Bola Sepak

Status Piala AFC akan diketahui selewat-lewatnya Ahad ini

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat dua lagi kelab Liga Malaysia (Liga-M) beraksi di pentas Asia musnah selepas difahamkan tiada negara yang berminat menjadi tuan rumah aksi peringkat kumpulan Piala AFC.

Ketika Arena Metro mendapatkan pengesahan lanjut daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Setiausahanya Datuk Windsor Paul John mengakui pihaknya masih belum menemui lokasi untuk aksi itu.

Katanya, nasib saingan itu yang turut menyaksikan dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC hanya akan diketahui esok atau Ahad ini.

"Hujung minggu ini (keputusan Piala AFC di teruskan atau tidak)," katanya ringkas kepada Arena Metro, semalam.

Malah, beliau juga mengesahkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status Piala AFC yang juga saingan kedua tertinggi peringkat kelab Asia selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Belum (ada negara yang mahu). Ya (akan ada kenyataan media)," katanya sekali gus membayangkan Piala AFC kemungkinan tidak dapat dilangsungkan buat negara-negara dari zon Asia Timur.

Desas desus pembatalan itu juga dikuatkan dengan perkembangan terbaru di Indonesia yang mengumumkan terpaksa menunda saingan Liga 1 negara itu ke hujung Julai berbanding tarikh asal bermula pada awal Julai.

Indonesia sebelum ini dikatakan antara negara yang berminat untuk menggantikan Singapura bagi menganjurkan aksi peringkat kumpulan Piala AFC zon Timur itu.

Difahamkan kes harian Covid-19 di Indonesia ketika ini kembali meningkat yang memaksa Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) menangguhkan liga di negara terbabit.

Sebelum ini, KDA FC dan Terengganu FC berharap agar saingan itu dapat di teruskan memandangkan kedua-dua pasukan sudah melakukan pelbagai persiapan dengan membawa masuk ramai muka baharu pada jendela perpindahan pemain Mei lalu.

Disiarkan pada: June 30, 2021 @ 1:51pm
d