Bola Sepak

Hong Wan akui JDT setanding kelab EPL

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pemain kacukan Malaysia-China, Nathaniel Shio Hong Wan mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki fasiliti setanding dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) di England.

Hong Wan, 20, sebelum ini beraksi bersama kelab EPL, Wolverhampton Wanderers atau lebih dikenali dengan Wolves memutuskan untuk menyertai JDT bulan lalu.

Katanya, dia memilih skuad Harimau Selatan kerana percaya pasukan itu adalah yang terbaik dan mampu menyediakan dirinya di tahap terbaik.

Malah, Hong Wan yang memiliki pertalian darah Malaysia di mana ibunya berasal dari Tangkak, Johor amat mengagumi kemudahan yang ada di JDT.

"JDT adalah kelab terbesar dan terbaik (di Malaysia). Saya fikir saya tidak akan datang ke Malaysia jika bukan kerana JDT.

"Sejujurnya, ini adalah satu-satunya kelab yang saya tahu disebabkan kejayaan yang mereka capai.

"Kemudahan fasiliti yang mereka miliki, sumber yang mereka ada berbanding pasukan lain dan bahkan hanya datang ke sini sewaktu minggu pertama saya, tempat latihan, persekitaran stadium, tahapnya adalah lebih baik berbanding beberapa kelab EPL yang saya ketahui.

"Kemudahan fasiliti di sini berada di tahap teratas, sama dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris. Saya melihat peluang yang baik di sini jadi saya membuat keputusan untuk menjalaninya. Cabaran baru, pengalaman baru," katanya ketika ditemubual oleh Astro Arena.

Ujarnya lagi, dia mahu beraksi buat JDT termasuk membuat penampilan di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan kelab selatan tanah air itu.

"JDT sebuah kelab yang sangat bagus, sebuah kelab besar dalam hampir kesemua perkara.

"Mereka bermain di kejohanan Liga Juara-Juara AFC, seperti yang mereka lakukan sekarang, melakukannya dengan sangat baik dan perkara terbesar bagi saya adalah di mana saya melihat diri saya bermain, melihat peluang yang ada di JDT," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2021 @ 9:18pm
d