Bola Sepak

Pemain bola juga bertanggungjawab

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pemain bola sepak profesional seharusnya bertanggungjawab di atas tahap kecergasan masing-masing dengan tidak hanya meletakkan ia di bahu jurulatih semata-mata.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, isu intensiti rendah yang dibangkitkan terutama terhadap pemain kebangsaan tidak wajar dibangkitkan ketika pemain turut memiliki tanggungjawab untuk meningkatkan kecergasan.

"Pemain profesional ada tanggungjawab sendiri, takkan semuanya terletak di tangan jurulatih kerana jurulatih pun ada pemain-pemain lain yang harus diberi perhatian.

"Kalau kita rasa tak cergas dan kalau rasa jurulatih tak bagi latihan yang secukupnya, kita kenalah buat latihan sendiri. Maksud profesional itu, apa-apa pun kita kena buat sendiri.

"Saya bagi contoh Datuk Lee Chong Wei, bagaimana beliau melakukan latihan tambahan dalam latihan setiap hari. Kalau jurulatih bagi tugasan 50 kali buat pukulan 'smash', Chong Wei pula akan tambah sendiri buat 200 kali 'smash'.

"Bila kita bertanggungjawab dengan kerja kita, barulah kita boleh nak cabar peringkat dunia. Kalau sekadar nak berlatih ikut arahan jurulatih tanpa latihan tambahan sendiri, memang takkan ke mana-mana hanya di takuk itu saja," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, menerusi dalam laporan Arena Metro, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyalahkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya sebagai punca mengapa pemainnya, Safawi Rasid beraksi 'lemau' di Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, ketika ini.

Jelas Tunku Ismail, prestasi menurun Safawi itu disebabkan oleh latihan intensiti rendah yang disediakan oleh skuad negara sepanjang hampir sebulan Safawi bersama pasukan pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 16 Mei lalu hingga 15 Jun.

Jelas Azlan lagi, setiap pemain yang dipanggil mewakili negara adalah pejuang di medan 'perang' yang berkorban untuk berjuang dan mempertahankan negara.

"Bersukan untuk negara ini ialah pengorbanan. Kalau kamu tak nak berkorban, bagaimana orang nak berkorban untuk kamu.

"Keuntungan sebagai pemain cukup banyak, tapi keuntungan untuk rakyat hanya satu sahaja, iaitu nikmat kemenangan dan sorak kegembiraan daripada pemain-pemain yang menang," katanya.

Ujarnya lagi, setiap pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan meraih ganjaran yang tidak disangka-sangka kerana peminat akan sentiasa mengingati pengorbanan kita.

"Ketekunan dan kejujuran yang kita pamerkan sekarang pastinya akan terbawa bawa sifat murni ini untuk kita terapkan dalam membina karier seterusnya selepas bersara.

"Harus diingat pengorbanan untuk negara ini hasilnya bukan kita nampak sekarang. Pelbagai hasil yang akan kita peroleh contohnya bantuan, rasa hormat dan layanan istimewa yang kita sendiri tidak minta akan kita kecapi dari masyarakat, perkara ini nyatanya tidak ternilai."

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 7:21pm
d