Bola Sepak

Kedah, TFC boleh lupakan sahaja Piala AFC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tempoh yang diberikan untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah sudah berakhir malah waktu juga semakin suntuk mendorong Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil keputusan membatalkan perlawanan Piala AFC membabitkan kumpulan D, G, H dan I musim ini.

Setiausaha AFC Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan mesyuarat jawatankuasa pertandingan sebulat suara membatalkan kejohanan Piala AFC 2021 selepas tiada pasukan atau negara yang bersedia menjadi tuan rumah.

Beliau berkata, ketika ini agak sukar untuk mencari tuan rumah dalam waktu yang singkat selain perlawanan terbabit tidak boleh ditunda kerana akan menganggu perjalanan liga domestik.

"Jika diikutkan situasi sekarang sememangnya perlawanan Piala AFC batal dan nak jalankan juga ada ke pasukan atau negara mahu menjadi tuan rumah dalam tempoh terdekat ini?

"Oleh itu, bolehlah dikatakan perlawanan terbabit batal dan AFC akan mengeluarkan surat rasmi dalam tempoh dua atau tiga hari ini.

"Jika nak tunda pun banyak perkara harus difikirkan kerana kebanyakan negara sekarang ini masih lagi menutup pintu sempadan selain kes Covid-19 masih lagi tinggi," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi hos kepada kumpulan H dan I dalam saingan Piala AFC 2021.

Singapura yang diwakili dua pasukan iaitu Lion City Sailors dan Geylang International membuat keputusan terbabit berikutan situasi Covid-19 yang tidak dijangka di rantau ini sekali gus pergerakan dari satu tempat ke satu tempat adalah satu perkara yang mencabar buat pasukan dari luar.

Pembatalan Piala AFC itu sekali gus menyaksikan dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC sudah boleh melupakan kejohanan peringkat Asia terbabit dan memberi tumpuan kepada perjalanan Liga Super.

KDA FC dan Terengganu FC berharap supaya saingan itu dapat di teruskan memandangkan kedua-dua pasukan sudah melakukan pelbagai persiapan dengan membawa masuk ramai muka baharu pada jendela perpindahan pemain Mei lalu.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 3:42pm
d