Bola Sepak

Ronaldo rangkul anugerah Kasut Emas

Oleh Agensi

London: Cristiano Ronaldo sah memenangi anugerah Kasut Emas Kejuaraan Eropah dengan lima gol selepas aksi final hari ini.

Kemenangannya itu disahkan selepas Itali menewaskan England menerusi penentuan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 tamat masa tambahan di Wembley.

Bintang Juventus itu menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan sepanjang kejohanan itu sekali gus menyamai jaringan penyerang Republik Czech, Patrik Schick.

Bagaimanapun, hasil bantuan satu gol berbanding sifar dilakukan Schick, Ronaldo mengatasi bintang Bayer Leverkusen itu untuk memenangi anugerah berkenaan.

Meskipun skuad Fernando Santos tewas 0-1 pada pusingan kedua di tangan Belgium, Portugal mampu menjaringkan tujuh gol dalam Kumpulan F dengan Ronaldo meledak lima daripadanya.

Dua bintang England berpeluang memenangi anugerah itu dengan Harry Kane meledak empat gol manakala rakan penyerangnya, Raheem Sterling tiga sebelum aksi final hari ini.

Bagaimanapun, Three Lions hanya mampu seri 1-1 selepas masa tambahan dengan jaringan awal Luke Shaw dinafikan Itali menerusi gol penyamaan Leonardo Bonucci.

Azzurri kemudian memenangi penentuan penalti 3-2 sekali gus meraih gelaran Euro kedua mereka.

Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 9:45am
d