Bola Sepak

'Ronaldo bodoh, gila, lelaki yang sakit'

Oleh Agensi

London: Presiden Real Madrid menganggap Cristiano Ronaldo sebagai seorang yang bodoh dan Jose Mourinho pula tidak normal dalam perbualannya yang bocor pada 2012.

Pendedahan audio itu hanya 24 jam selepas ketua Bernabeu terbabit menyelar legenda kelab Raul dan Iker Casillas sebagai penipu pada 2006.

El Confidencial mula mendedahkan lebih banyak audio Florentino Perez yang berusia 74 tahun itu dan kini dia mula menyasarkan penyerang Juventus dan Special One.

Dalam perbualannya pada Oktober 2012, Perez menyerang Ronaldo yang kemudiannya menjadi penjaring terbanyak Real sepanjang zaman.

Mengenai pemenang lima kali Ballon d'Or, dia berkata: "Dia gila, bodoh dan lelaki yang sakit.

"Anda fikir dia normal tetapi dia tidak normal. Kalau tidak, dia tak akan lakukan semua perkara yang dia lakukan."

Ronaldo menyertai Real dari Manchester United pada 2009 sebelum berpindah ke Juventus sembilan tahun kemudian selepas meledak 450 gol dalam 438 perlawanan.

Ketika di Bernabeu dia meraih dua gelaran LaLiga, dua Piala Raja Sepanyol dan menjulang Liga Juara-Juara empat kali.

Perez turut mengkritik Mourinho yang membawa Real menjuarai Piala Sepanyol pada 2011 sebelum menguasai liga setahun selepas itu.

Bercakap mengenai hubungan Ronaldo dan Mourinho dengan ejen Jorge Mendes, dia menambah: "Mendes tidak membantu apa pun dengan Ronaldo. Sama seperti ke atas Mourinho walaupun untuk temu ramah. Tiada apa. Mereka adalah lelaki yang mempunyai ego yang tinggi.''

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 11:22pm
d