Bola Sepak

Penyokong kutuk jersi baharu Man United

Oleh Agensi

London: Jersi baharu Manchester United untuk aksi di tempat sendiri tidak disenangi segelintir penyokong yang menganggapnya hanya setaraf jersi liga amatur.

Red Devils melancarkan jersi musim 2021-22 hari ini tetapi tidak menarik minat penyokong mereka.

United berkata: "Nama TeamViewer tertera di hadapan jersi, di bawah logo adidas dan logo kelab untuk menjadikan jersi ini tampak klasik.''

Rekaan itu mendapat inspirasi daripada jersi United pada 1960-an dengan nama penaja baharu kelab TeamViewer - sebuah syarikat perisian tertera di hadapan jersi.

TeamViewer menggantikan penaja musim lalu Chevrolet.

United mengumumkan perjanjian lima tahun bernilai £235 juta (RM1.36 bilion) dengan syarikat teknologi global itu awal tahun ini.

Jersi itu turut menampilkan warna putih di bahagian kolar dan lengan.

Beberapa pemain dari skuad utama seperti Harry Maguire, Marcus Rashford, Paul Pogba, Luke Shaw dan Bruno Fernandes terbabit dengan sesi promosi itu.

Tetapi segelintir penyokong kurang berpuas hati. Buzz dalam ciapan di Twitter berkata: "Tampak seperti jersi Liga Ahad. Mungkin salah seorang ayah kepada pemain yang menjadi penaja.''

Manakala Jackson pula berkata: "Jersi terburuk pernah saya lihat." Goat pula menulis: "Apa dah jadi dengan Barca dan United yang mencipta jersi buruk!''

Kerjasama United dengan TeamViewer dalam penajaan jersi adalah yang terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris iaitu £47 juta (RM237 juta) setiap tahun.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 10:55pm
d