Bola Sepak

Saka tidak lemah semangat

Oleh Agensi

London: Bintang England, Bukayo Saka berkata dia "mengetahui dengan jelas kebencian" bakal diterima selepas kegagalannya menyempurnakan penalti pada final Euro 2020.

Penalti yang diambil Saka, 19, dan Jadon Sancho berjaya di ditepis penjaga gol Itali manakala sepakan Marcus Rashford terkena tiang gol ketika Itali menewaskan England dalam penentuan penalti untuk memenangi kejohanan.

Ketiga-tiga mereka menerima kecaman perkauman di media sosial selepas perlawanan itu.

"Saya tidak akan membenarkan detik itu atau perkara negatif yang saya lalui minggu ini melemahkan semangat saya," menurut Saka di media sosial.

Pemain Arsenal berusia 19 tahun meluahkan kenyataan itu mengenai layanan yang diterima menerusi Instagram, Twitter dan Facebook.

Saka adalah salah seorang pemain England yang mempamerkan aksi menakjubkan sepanjang laluan pasukan Three Lions ke final dan pengurus Gareth Southgate pada awal minggu ini berkata dia "sudah memberikan senyuman kepada banyak orang" dan "menjadi antara pemain terkenal dalam pasukan itu."

Dalam ciapannya Saka berkata: "Saya mengetahui kebencian yang bakal saya terima dan realitinya perkara yang paling sedih apabila platform berkuasa anda tidak melakukan apa-apa.

"Saya enggan membenarkan mana-mana kanak-kanak atau orang dewasa menerima kebencian dan pesanan yang menyakitkan seperti saya Marcus dan Jadon terima pada minggu ini.

"Tiada tempat untuk perkauman atau apa-apa kebencian dalam bola sepak mahupun mana-mana komuniti.

"Jika semua orang bersatu mengambil tindakan dengan melaporkan mereka yang mengeluarkan mesej begini, kita akan menang. Kasih sayang sentiasa menang."

Disiarkan pada: July 16, 2021 @ 2:07pm
d