Bola Sepak

Detik istimewa Giroud di Chelsea

Oleh Agensi

London: Olivier Giroud berterima kasih kepada Chelsea kerana "memori istimewa" mereka ketika penyerang itu hampir pasti menyertai AC Milan.

Penyerang kebangsaan Perancis berusia 34 tahun itu, dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Serie A dan mungkin dapat melengkapkan perpindahan pada hujung minggu ini.

Dalam ciapan di Twitter, Giroud memberitahu: "Saya akan memulakan perjalanan baru dengan semangat dan perasaan gembira.

"Kejayaan kami di Piala FA, Piala Europa dan Liga Juara-Juara sangat luar biasa."

Chelsea menetapkan sejumlah yuran perpindahan bagi penyerang yang meledak 11 gol dalam 31 penampilan musim lalu itu.

"Kepada semua peminat Blues, rakan sepasukan, jurulatih, seluruh kelab, terima kasih tidak terhingga untuk detik yang istimewa ini," tulisnya.

Giroud menyertai Chelsea dari pencabar utama Arsenal pada Januari 2018 dan bulan lalu dia melanjutkan kontraknya sehingga 2022.

Pemain yang memenangi Piala Dunia, yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Perancis tewas kepada Switzerland dalam kelompok 16 terakhir di Euro 2020, menjaringkan 39 gol dalam 119 penampilan bersama kelab itu.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 9:05am
d