Bola Sepak

Giroud sah milik AC Milan

Oleh AFP

Milan: Penyerang Perancis, Olivier Giroud sudah melengkapkan perpindahan ke AC Milan, umum kelab Itali itu hari ini.

Bintang berusia 34 tahun dan pemenang Piala Dunia itu menjalani ujian perubatan semalam sebelum menandatangani kontrak bersama naib juara Serie A itu yang kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

"AC Milan berbangga untuk mengumumkan menandatangani Olivier Giroud menerusi perpindahan secara kekal dari Chelsea," kata kelab itu dalam satu kenyataan tanpa menjelaskan lebih lanjut tempoh kontrak namun media tempatan melaporkan ia selama dua tahun.

"Penyerang Perancis itu akan memakai jersi bernombor sembilan."

Chelsea melanjutkan kontrak Giroud bulan lalu selama setahun sehingga Jun 2022 namun dia memilih untuk berhijrah dari Stamford Bridge selepas hanya membarisi kesebelasan utama di Liga Perdana sebanyak lapan kali musim lalu.

"Kepada penyokong Chelsea dan rakan sepasukan, jurulatih dan seluruh kelab, terima kasih atas segala detik istimewa. Saya akan memulakan cabaran baharu dengan rasa gembira," tulis Giroud di Twitter selepas melalui ujian perubatan.

"Kemenangan yang diraih di Piala FA, Liga Europa dan Liga Juara-Juara sangat luar biasa."

Di AC Milan, Giroud dijangka akan bersaing dengan penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic, 39, yang sedang melalui proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut dan masih tidak pasti akan dapat diturunkan pada musim baharu.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 8:18pm
d