Bola Sepak

Celtic, Midtjylland sekadar seri

Oleh AFP

Paris: Sudah 54 tahun berlalu sejak Celtic mengejutkan gergasi Eropah, Inter Milan untuk muncul sebagai pasukan British pertama dalam sejarah memenangi Piala Eropah.

Tetapi perjalanan Glaswegians untuk ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini masih jauh selepas terikat 1-1 menentang wakil Denmark, Midtjylland pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan, awal pagi ini.

Pengendali skuad itu, Ange Postecoglou hanya mampu mengimpikan kejayaan yang pernah dicapai Jock Stein pada 1967 selepas membuka kempen bersama pasukan baharunya itu dengan keputusan seri.

Bekas pemenang Liga Jepun bersama Yokohama F Marinos itu menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain dan pemain sayap muda dari Israel, Liel Abada meledak gol pada penampilan pertamanya di hadapan 9,000 penonton di Parkhead.

Bagaimanapun, Celtic terlebih dahulu kehilangan pemain apabila pertahanan, Nir Bitton mengutip kad kuning kedua disusuli pemain sayap Midtjylland, Anders Dreyer selepas sengaja merebahkan badan sebelum Evander mengikat kedudukan pada minit ke-66 untuk menjadikan aksi kedua lebih sengit.

"Ia keputusan yang mengecewakan," kata Postecoglou bekas jurulatih Socceroos.

"Dari segi persembahan keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi pemain."

Pemenang akan berdepan PSV Eindhoven ataupun Galatasaray sementara pasukan yang kalah akan menentang Jablonec dalam Liga Europa.

Keputusan Kelayakan Liga Juara-Juara:

Celtic (SCO) 1 FC Midtjylland (DEN) 1

Alashkert FC (ARM) 0 Sheriff (MDA) 1

Lincoln Red Imps (GIB) 1 CFR Cluj (ROM) 2

Dinamo Zagreb (CRO) 2 Omonia Nicosia (CYP) 0

Ferencvaros (HUN) 2 Zalgiris Vilnius (LIT) 0

Rapid Vienna 2 (AUT) Sparta Prague (CZE) 1

Disiarkan pada: July 21, 2021 @ 10:39am
d