Bola Sepak

Kedah hormati cabaran Penang FC

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan mengambil mudah diatas kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, meskipun dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri, skuadnya harus waspada dan bersedia sepenuhnya pada tahap terbaik memandangkan Penang FC juga pasukan yang mampu memberi kejutan serta cabaran hebat.

"Semestinya kita perlu berada pada tahap terbaik dan memiliki 100 peratus keupayaan bagi memulakan aksi kali ini.

"Kami juga perlu ambil peluang sebaiknya sebab kita tahu pemain bahagian serangan pihak lawan seperti Casagrande yang tidak dapat beraksi disebabkan penggantungan, dan tambahan pula kita beraksi di laman sendiri dan kita perlu manfaatkan kelebihan yang ada." katanya.

Merujuk kepada lima perlawanan di laman sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan yang perlu dihadapi Kedah, Aidil mahu pemainnya terlebih dahulu fokus untuk mendapatkan tiga mata pada perlawanan ini sebelum merencanakan perlawanan seterusnya.

"Apa yang penting adalah, kita perlu dapatkan tiga mata untuk permulaan sambungan perlawanan liga bertemu Penang FC ini untuk mendapatkan momentum peningkatan selanjutnya.

"Pada saya tiga perlawanan terawal yang akan bermula selepas ini adalah aspek paling penting untuk kita dapatkan momentum yang dikehendaki, dan selepas mendapat momentum yang baik dalam tiga perlawanan itu, kita berharap momentum itu dapat ditingkatkan dalam menjalani perlawanan seterusnya nanti." kata Aidil Sharin pengendali dari Singapura itu.

Mengenai kekurangan perlawanan persahabatan bagi menguji tahap pasukan KDA FC dengan beberapa pasukan Liga Perdana dalam persiapan kali ini, Aidil tidak menganggap ia sebagai satu kelemahan semata-mata.

"Dalam persiapan, kita perlukan latihan perlawanan yang berintensiti tinggi bagi mengekalkan kecergasan, namun di sebalik ketiadaan beberapa perlawanan latihan atas faktor semasa dan kekangan Covid-19, latihan secara dalaman yang dilakukan tetap dapat menerapkan 'team bonding' atau jalinan persefahaman lebih rapat sesama pemain dan ini juga sesuatu yang positif buat pasukan.

"Faktor persefahaman inilah yang penting dan kita mahukan untuk mereka bawa masuk ke dalam padang apabila beraksi nanti." katanya.

Rekod perlawanan Liga Super musim ini menyaksikan kedua-dua pasukan diikat seri 1-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 12 Mac lalu.

Disiarkan pada: July 22, 2021 @ 12:26pm
d