Bola Sepak

Aksi Kuching City, TFC II petang ini ditunda

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kurang empat jam sebelum turun ke gelanggang, aksi membabitkan Kuching City FC (KCFC) menentang Terengganu FC II (TFC II) yang dijadualkan berlangsung pada jam 4.15 petang ini di Stadium Negeri Kuching terpaksa dibatalkan berikutan pemain dan pegawai KCFC didapati positif Covid-19.

Bagaimanapun, pengurusan TFC II akur dengan keputusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu walaupun skuad kendalian Badrul Afzan Razali sudah tidak sabar untuk beraksi.

Keputusan penundaan perlawanan itu adalah yang kedua selepas aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bertemu Penang FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman pada malam ini juga ditunda selepas dua pemain skuad Lang Merah disahkan positif wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, barisan pemain dan jurulatih TFC akur dengan keputusan di luar jangkaan itu demi kebaikan semua pihak.

Katanya, keputusan MFL itu juga tepat dan pantas bagi mengelak wabak pandemik Covid-19 itu daripada merebak kepada pemain dan juga pihak pengurusan.

"Kami dapat makluman mengenai pembatalan itu pada tengah hari tadi selepas beberapa pemain serta pegawai pasukan lawan didapati positif Covid-19 sesudah ujian calitan PCR pagi tadi.

"Walaupun pemain bagaikan tidak sabar untuk turun ke padang selepas lebih dua bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif kerana Liga Malaysia (Liga M) berehat selain lebih sebulan menjalani latihan secara 'camp based training', tapi mereka akur dengan keputusan pembatalan perlawanan di luar jangkaan itu.

"Lagipun demi keselamatan, keputusan daripada penganjur itu adalah tepat bagi mengelak wabak pandemik itu daripada terus merebak," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Beliau berkata, barisan pemain skuad The Turtles bakal pulang ke Terengganu pada tengah hari esok kerana setakat ini jadual baharu perlawanan itu belum dimaklumkan lagi pihak penganjur.

Sementara itu jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim reda dengan keputusan penundaan perlawanan itu sambil mendoakan pemain dan pegawai pasukan yang didapati positif Covid-19 segera sembuh.

"Setakat ini ada beberapa pemain dan pegawai pasukan disahkan positif Covid-19, namun kami mendoakan agar mereka cepat sembuh selain mengharapkan baki pemain dan pegawai bebas daripada wabak pandemik itu," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 3:36pm
d