Bola Sepak

TFC II kekal rekod tanpa kalah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC) terus kebal mempertahankan rekod tanpa kalah selepas menang tipis 1-0 menundukkan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Bagaimanapun skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu masih kekal menghuni di tangga ketiga carta liga dengan mengutip 22 mata di belakang NSFC dengan 23 mata.

Sepanjang babak pertama, aksi kedua-dua pasukan dilihat seimbang, namun tidak banyak percubaan menarik dapat dihasilkan dengan bola lebih banyak berlegar di bahagian tengah.

Hanya dua percubaan terbaik dimiliki skuad The Turtles menerusi rembatan deras Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit ke-20 yang sedikit melepasi palang gol dan peluang kedua yang pada minit ke-35 melalui tandukan kapten, Argzim Redzovic yang berjaya dihalang penjaga gol, Damien Chien Khai Lim pada minit ke-35.

Skuad kendalian K Devan juga hanya memperolehi dua percubaan tepat pada minit ke-33 menerusi rembatan Mohamad Zamri Pin Ramli yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol muda, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, begitu juga sepakan percuma Alain Thierry Akono pada minit ke-42 berjaya dihalang pertahanan TFC.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir di depan pada minit ke-56, namun rembatan Amirul Syazwan terkena palang sekali gus terselamat pintu gol skuad Hobin Jang Hobin.

Usaha berterusan TFC II akhirnya berhasil apabila sepakan percuma yang diambil Jordan Mintah pada minit ke-66 gagal diselamatkan penjaga gol sekali gus berjaya mengutip tiga mata berharga pada aksi ke-12 itu.

Jaringan itu adalah yang ke-12 daripada penyerang kelahiran Ghana itu yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dalam saingan Liga Perdana.

Disiarkan pada: July 27, 2021 @ 11:18pm
d