Bola Sepak

Mora gembira Bergson temui sentuhan jaringan

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Sentuhan penyudah Bergson da Silva yang kembali berbisa nyata melegakan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora selepas membantu pasukan itu membelasah Perak FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Mora juga menafikan pemain import dari Brazil bersikap tamak apabila beraksi di padang sebaliknya bekas pemain Fortaleza itu sentiasa beraksi dengan corak permainan berpasukan dan kerap membantu rakan sepasukan pada aksi liga.

"Bergson adalah pemain yang memiliki skil tersendiri dan dia sentiasa bekerja keras apabila beraksi di padang dan kerap juga mencari bola untuk membuka permainan malah dia bukan pemain yang hanya menunggu bola.

"Kerja kerasnya nyata berbaloi apabila dia berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu dan ia amat membanggakan kami. Semuanya bermula ketika aksi menentang UiTM FC apabila dia menjaringkan gol disusuli aksi menentang Selangor FC.

"Bergson bijak untuk mengambil kesempatan apabila memiliki ruang walaupun ada ketika bola rembatan yang dilakukan tersasar tapi itu adalah tugas sebagai penyerang dan dia sering mendapat sokongan daripada rakan sepasukan yang menjana gerakan berbahaya," katanya.

Bergson kini mengumpul 16 gol dan bersaing bersama Ifedayo Olusegun yang turut menghimpun jaringan gol yang sama dalam perebutan penjaring terbaik saingan liga musim ini.

Mengulas kemenangan bergaya JDT pada aksi itu, Mora berpuas hati dengan komitmen barisan pemainnya yang merealisasikan sasaran untuk mencipta kemenangan ketiga berturut-turut dan beri lebih keyakinan buat pemain bagi memburu kejuaraan liga lapan musim berturut-turut.

Katanya, aksi babak pertama tampak sukar selepas pemain Perak FC lebih gemar berada di kawasan sendiri dan menyukarkan barisan serangan JDT mencipta percubaan berbahaya dan terpaksa menanti sehingga minit ke-20 sebelum menjaringkan gol.

"Selepas menjaringkan gol pada babak pertama, pemain tampak begitu bernafsu dan mereka terus menggempur benteng lawan dan seterusnya menambah jaringan dan itu yang kami mahu dan babak kedua jelas menjadi milik JDT," katanya.

Mora juga menjelaskan kecederaan Leandro Velazquez yang tidak diturunkan sejak tiga perlawanan akibat kecederaan dan pemain tengah JDT itu semakin pulih dan kemungkinan akan beraksi pada perlawanan seterusnya.

"Leandro mengalami kecederaan di otot betis dan dia sudah kembali menjalani latihan. Kemungkinan dia akan diturunkan pada aksi seterusnya. Malah Maurico sudah pulihi selepas mengalami kecederaan ketika menentang Selangor FC, baru-baru ini," kata Mora

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 11:55am
d