Bola Sepak

Sri Pahang buat PJ City kempunan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC akhirnya melakar kemenangan selepas menewaskan PJ City FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Gol tunggal dijaringkan penyerang import, Aung Kaung Man selepas menewaskan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada minit ke-15 sudah memadai untuk memastikan tiga mata menjadi milik Sri Pahang.

Bagaimanapun, tentangan sengit tetap diberikan PJ City sehingga wisel penamat.

Pada perlawanan itu, peluang terbaik lawan hadir menerusi Mahali Jasuli tetapi bola tendangan penyerang itu melepasi palang gol pada minit ke-28.

Tuan rumah yang mahu meraih tiga mata berusaha untuk memberi tekanan kepada kubu lawan tetapi dinafikan dengan ketangkasan dan aksi lebih kemas.

Penyerang import Sri Pahang, Kenny Athiu turut memiliki peluang untuk menambah jaringan tetapi gagal merobek gawang PJ City yang lebih bersedia.

Namun, aksi separuh masa pertama menyaksikan Sri Pahang mendahului 1-0 ketika PJ City pula perlu mempertajamkan lagi jentera jika mahu memberi tekanan kepada tuan rumah.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian P Maniam lebih banyak melakukan serangan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan.

Kaung Mann hampir menambah gol kedua buat Sri Pahang tetapi bola sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol lawan pada minit ke-65.

Selang empat minit, Athiu turut mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi bola tandukannya diselamatkan Kalamullah. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 11:14pm
d