Bola Sepak

TFC gagal lunas dendam

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal membalas dendam kekalahan kepada Sabah pada aksi pusingan pertama selepas terikat 0-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Bagaimanapun keputusan itu tidak berganjak kedudukan skuad kendalian Nafuzi Zain yang kekal menghuni di tangga kedua liga dengan mengutip 31 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang gah dengan 39 mata.

TFC yang kehilangan kapten, Carli De Murga kerana mengalami kecederaan menurunkan pertahanan Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic untuk mengetuai jentera pertahanan dengan pemain itu berjaya mengawal permainan dengan baik.

Sepanjang babak pertama, skuad Penyu lebih banyak mendominasi permainan dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat menerusi Faisal Halim dan Faiz Nasir berbanding satu diperolehi skuad Sang Badak.

Namun kekentalan pertahanan pelawat selain nasib tidak menyebelahi pasukan tuan rumah termasuk bola terkena palang gol menerusi rembatan pemain tengah, Dechi Marcel pada minit ke-40 menyaksikan aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 0-0.

Bersambung babak kedua, pengendali Sabah, Kurniawan Yulianto mengubah taktikal dengan memasukkan bekas penyerang Harimau Malaya, Mohd Amri Yahyah dan pemain import kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani bagi menghidupkan jentera serangan.

Kemasukan dua pemain itu ternyata menambah sengat di bahagian serangan pelawat dengan beberapa percubaan tepat yang hampir menemui jaringan namun dinafikan pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-89, penyerang TFC, David Da Silva berjaya menyumbat gol menerusi sepakan percuma menarik, namun dibatalkan pengadil, Suhaizi Shukri kerana pemain tuan rumah terlebih dahulu ofsaid walaupun cuba dibantah pemain TFC sekali gus perlawanan berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Pada aksi pusingan pertama, TFC tewas 1-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 11:28pm
d