Bola Sepak

MUFC bakal keluarkan motosikal edisi khas

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) merancang menghasilkan motosikal edisi khas MUFC sekali gus bakal berkolaborasi dengan pengeluar motosikal tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC, Datuk Seri Justin Lim berkata, pihaknya kini sedang dalam perancangan akhir untuk menghasilkan motosikal edisi khas dengan menampilkan warna keramat kelab itu bersama lakaran eksklusif sinonim dengan nama skuad Hang Tuah.

Menurutnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan Geng Tayar Besar (GTB) untuk menghasilkan motosikal edisi khas MUFC yang akan diperkenalkan kepada umum kelak.

"Jika JDT FC ada kereta edisi khas Aston Martin, kita pula akan ada motosikal edisi khas MUFC. Walaupun tidak sebesar apa yang ada pada JDT FC, tapi kita anggap ini satu permulaan yang baik untuk kelab di masa akan datang.

"Apabila motosikal berkenaan diperkenalkan, pihak kami bercadang untuk menghadiahkan motosikal terbabit kepada penyokong MUFC menerusi cabutan bertuah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merancang mengadakan cabutan bertuah kepada penyokong bertuah yang hadir ke stadium, namun disebabkan peminat tidak dibenarkan ke stadium buat masa ini, pihaknya akan menangguhkannya sehingga tiba masa yang sesuai.

Justin berkata, selepas dilancarkan, penyokong boleh membeli motosikal edisi khas berkenaan dengan kesemua keuntungannya akan disalurkan kepada kelab terbabit untuk tujuan pembangunan bola sepak.

Katanya, selain motosikal edisi khas, beberapa penaja besar juga telah menyatakan kesediaan untuk menaja kelab terbabit yang akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Pada masa sama, MUFC juga bakal memiliki aplikasi telefon pintar sendiri yang turut merangkumkan platform e-dagang bagi tujuan pembelian pelbagai barangan secara dalam talian.

Jelasnya, kesemua perancangan terbabit antara langkah-langkah yang diambil untuk menjana pendapatan sendiri dalam masa sama berharap usaha yang dilakukan dapat memacu MUFC ke satu tahap lebih tinggi pada masa hadapan.

Disiarkan pada: August 3, 2021 @ 4:51pm
d