Bola Sepak

Kelantan United mahu tiga mata penuh

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC) Nazrulerwan Makmor tidak mahu pasukan bimbingannya itu terus kehilangan mata apabila turun melayani kunjungan Selangor FC ll pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad lV, di sini esok.

Jurulatih kelahiran Selangor itu berkata KUFC kehilangan mata selepas tewas 0-3 kepada JDT ll Ahad lepas dan kini pasukannya wajib menang esok untuk merapatkan kutipan mata bagi mencapai sasaran berada dalam lima pasukan teratas saingan liga itu.

"Kami tidak boleh kalah jika mahu merapatkan jurang kutipan mata dan mengekalkan persaingan merebut tempat ke saingan Liga Super musim depan. KUFC hanya cipta satu kemenangan dan dua kekalahan daripada tiga perlawanan sebelum ini, ia bukan satu keputusan menggembirakan," katanya yang dihubungi hari ini.

Selepas 14 perlawanan, KUFC di kedudukan keenam dengan mengumpul 19 mata hasil daripada enam kemenangan, satu seri dan tujuh kekalahan dan Nazrulerwan berkata pemainnya perlu melupakan kekalahan sebelum ini seterusnya bangkit pada perlawanan esok serta lima baki perlawanan berikutnya.

"Sudah tentu kami kecewa dengan dua perlawanan sebelum ini, namun saingan liga berbaki enam perlawanan kami sebolehnya tidak mahu terus tercicir mata sekiranya berhasrat bermain di Liga Super tahun depan," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2021 @ 6:12pm
d