Bola Sepak

Hodak mahukan kemenangan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Lima keputusan seri berturut-turut dalam saingan Liga Super mahu dinoktahkan pada malam esok apabila Kuala Lumpur City FC(KL City) mensasarkan kemenangan ke atas Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Menurut pengendali pasukan, Bojan Hodak, meskipun PJ City dianggap lawan yang cukup liat, namun beliau tetap mahu anak buahnya memburu tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan pasukan dalam carta liga.

Katanya, selain rekod lima perlawanan yang berakhir dengan seri itu, skuad kendaliannya juga tidak pernah tewas sejak 30 April lalu sekali gus menandakan betapa kukuhnya benteng pertahanan pasukan.

"PJ City sebuah pasukan yang tidak mudah menyerah kalah. Mereka bergerak tanpa henti di seluruh kawasan padang dan itu cabaran yang besar buat kami apabila menentang mereka.

"Tetapi saya tetap mahukan kemenangan apabila berdepan mereka apatah lagi kami beraksi di gelanggang sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ketika ini, skuad Warga Kota menduduki tangga keenam liga dengan 21 mata daripada 17 aksi yang dilalui setakat ini, manakala PJ City berada di posisi kelapan 18 mata.

Ujar Hodak yang juga bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) dan skuad B-19 negara itu, khidmat penyerang veteran Safee Sali kemungkinan tidak dapat dipertaruhkan ekoran demam denggi.

"Safee masih belum pulih, begitu juga dengan Kyrian Nwabueze (penyerang import) yang akan diketepikan kerana kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament).

"Jadi kami akan pertaruhkan pemain lain seperti Romel Morales di bahagian depan walaupun sebenarnya dia adalah pemain tengah, selain beberapa tonggak lagi yang akan memikul tanggungjawab di jentera depan," katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2021 @ 2:51pm
d