Bola Sepak

Rekod TFC II akhirnya lebur

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Selepas 'kebal' dalam 14 perlawanan terdahulu, rekod tanpa kalah Terengganu FC II (TFC II) lebur kepada PDRM FC apabila tumpas 1-2 pada aksi ke-15 saingan Liga Perdana, malam tadi.

Kekalahan perit itu sudah pasti begitu merugikan kem skuad The Turtles itu yang hanya berbaki lima perlawanan lagi sebelum tirai liga ditamatkan musim ini.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad pembangunan itu gagal merampas kedudukan teratas liga daripada Negeri Sembilan yang mengumpul 29 mata manakala TFC II dengan 28 mata.

Selain pemain, pengendali skuad itu, Badrul Afzan Razali juga antara individu yang kecewa kerana impiannya untuk mencipta sejarah tanpa kalah bersama pasukan yang baharu dibimbingnya musim ini itu berkecai.

"Saya tidak mahu menyalahkan kepada mana-mana pemain berikutan kekalahan itu walaupun begitu perit untuk ditelan.

"Mereka sudah beraksi dengan baik, namun hilang fokus terutama pada babak kedua menyaksikan kita dihukum pemain lawan sebelum tewas walaupun kita mendahului," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad The Turtles terlebih dahulu mendapat rentak permainan apabila mendahului tuan rumah pada minit ke-12 menerusi pemain meningkat naik, Muhammad Syafik Ismail.

Bersambung babak kedua, bekas pemain Terengganu FC, Mohamad Nabil Ahmad Latpi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49 sebelum bekas pemain import TFC II musim lalu, Bruno Suzuki meranapkan impian skuad itu selepas meledak jaringan The Corp pada minit ke-80.

Disiarkan pada: August 9, 2021 @ 5:48pm
d